Friday, November 11, 2011

Sayang sangat kan?

Teringat perbualan dengan umi 2 minggu lepas. Jumaat malam tu call umi memandangkan hujung minggu lapang sikit untuk berborak panjang. Tambahan sebab sabtu tu ada exam, jadi nak mintaklah umi doakan sekali. Sewaktu berborak tu, umi tengah memandu dari sekolah dalam perjalanan pulang ke rumah sebab ada hari ambil report card untuk sekolah rendah. Rancak jugak berborak, semangat umi bercerita tentang adik perempuan saya yang paling kecil, darjah satu. Adik yang ni memang terkenal dengan mulut tak pernah berhenti bercakap, walau di mana jua. Selalu kena marah dengan cikgu sebab bercakap dalam kelas tapi satu perkara yang mantap ialah dia sangat berani bertanya dalam kelas, tak seperti pelajar lain. Saya pun tak macam tu masa kecil, darjah satu tu.. pernah juga suatu ketika dalam satu program sekolah, semua murid-murid yang bising diambil nama oleh pengawas. Bila dilihat senarai nama itu, semuanya murid aulad (lelaki) dan ada satu sahaja nama murid banat(perempuan) dan disitulah letaknya nama adik saya. herm.. 

Itulah hasil report card yang umi peroleh dari cikgu pada hari tu disamping akademik adik saya yang alhamdulillah cemerlang. Bagi saya, laporan begitu sangatlah menarik! siapa sangka kanak-kanak kecil punyai semangat seperti itu. InsyaAllah mudah-mudahan dia akan membesar menjadi individu seteguh Saidatina Khadijah dan Aisyah dalam perjuangan dan selantang mereka dalam bersuara menyebarkan risalahNya. Ameen!

Dalam kerancakan borak-borak tu, tanpa diduga talian terputus! Tanpa sempat mengelipkan mata, seribu satu persoalan menyerbu kotak pemikiran saya. Kenapa tiba2 terputus? Eh, bukan umi tengah memandu ke? Ya Allah! janganlah berlaku seperti apa yang dibayangkan. Na'uzubillah! Saya sedikit resah tapi cuba mengawal perasaan. Yang menambahkan resah ialah bila saya cuba hubungi umi sekali lagi, tiada jawapan. Cuba sekali lagi, tiada jawapan juga..

Apa agak-agaknya perasaan kita bila perkara sebegini berlaku pada diri kita? 

Saya cuba lagi. kali ketiga tu Alhamdulillah, telefon dijawab dan terdengar suara umi. Umi pun bertanya dan berasa pelik kenapa tiba-tiba terputus. Saya sah-sah tak fikir pasal tu, yang paling penting ialah rasa lega tiada apa-apa berlaku. huhh. Saya pun terus cakap pada umi, takpelah.. nanti dah sampai rumah call semula. huu.

Begitulah ikatan perasaan kuat yang wujud dalam hubungan seorang anak dengan ibu atau bapanya. Perasaan sayang tu, taktau nak cakap macamana, sampaikan nak luah pada ibu atau bapa kita tu pun kadang tak terungkap kan?

Walaupun dah lebih kurang seminggu selepas eid adha, tak salah kalau kita renungi besarnya pengorbanan nabi Ibrahim, semata-mata kerana mematuhi perintah Allah walaupun itu anaknya sendiri sebagaimana kita pun dapat bayangkan bagaimana perasaan sayang kita terhadap ibu bapa kita. Subhanallah, saya benar-benar merasai bila baru terputus call sebentar dengan umi. T_T . Tadi baru pulang dari majlis makan malam sempena eid adha dan ada satu sesi sharing "what does eid adha means to you?". jadi, ditanyalah beberapa hadirin yang ada di situ. Antara jawapan-jawapan yang keluar : (pastinya dalam english tapi saya terjemah)

- eid bagi saya ialah hari perut penuh, bergembira dan santai2 bersama keluarga.
- eid bagi saya bermaksud dapat jumpa kawan-kawan lama dan borak-borak
- eid bagi saya ialah hari banyak makanan
- eid bagi saya ketenangan dan kegembiraan..
dan lain-lain lagi..

satu je jawapan yang saya dengar, "eid bagi saya, Alhamdulillah..Allah masih beri saya peluang utk berjumpa dgn eid lagi dan beramal.."

Bayangkan, sudahlah dalam kisah nabi Ibrahim (37:100-110), Nabi Ibrahim doa supaya dikurnia anak tapi bila dikurnia anak, diminta mengorbankannya. Begitulah Eid adha sepatutnya membawa kita merenung dan memuhasabah sejauh mana pengorbanan yang kita dah lakukan dalam usaha meraih redha Allah. Bagi saya, yang paling ialah sejauh mana kita dah korbankan nafsu kita dalam usaha mematuhi perintahNya? Bukankah menyayangi seorang anak juga adalah nafsu? Tapi Nabi Ibrahim korbankan nafsunya itu. Astaghfirullah.. moga Allah terus memberi kekuatan pada kita untuk terus berkorban dan berkorban.

saya suka pada satu baris lagu dari kumpulan tazakka yang bawa makna mendalam, " berkorban ertinya terkorban". Benar kerana berkorban itu ertinya kita menyebabkan nafsu kita terkorban. Contoh kalau kita berkorban untuk berjaya dalam exam, bermakna kita menyebabkan masa main atau masa rehat kita terkorban kan? Jadi, kalau berkorban demi menjadi hamba yang Allah redha, bermakna kita kena biar nafsu kita terkorban dari peroleh perkara-perkara duniawi yang melalaikan dan melemahkan.

Pernah seorang kawan mengadu pada saya, Ya Allah susahnya.. kadang satu ketika, kita rasa takut dengan Allah untuk berbuat dosa dan maksiat tapi beberapa ketika selepas itu, kita kembali seperti biasa, berbuat dosa-dosa dan sebagainya.

Sungguh benar, berkorban untuk berubah bukanlah mudah kerana kalau ianya mudah, pastilah ramai yang akan melakukannya dan mudah berjaya dalam perkara yang dikejar. Lagi-lagi demi meraih ganjaran besar syurga yang penuh nikmat, tak terkata.

percayalah, kalau kerana Allah lah kita melakukan sesuatu perkara, insyaAllah Dia akan membimbing kita ke arah itu. Cuma kita kena meneguhkan keyakinan kita itu dan hiduplah dalam lingkungan orang-orang yang selalu mengingatkan kita kembali padaNya.

47:7
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
lihat, Allah dah tunjukkan formulanya..

p/s: Ini belum bicara lagi tentang pengorbanan dalam nak menyebarkan kebenaran dan membimbing masyarakat sekeliling kita.

peringatan buat diri saya juga.
wassalam..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails